BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, July 26, 2010

ESQ..

Salam..
sudah lama saya tidak melakar coretan dlm blog ni..
Kali ini ingin saya menyentuh berkenaan satu isu yang agak panas waktu kini iaitu ESQ.

Persoalan haramkah atau perlukah diperbetulkan ESQ berbangkit setelah pihak Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh mewartakan hujahnya dalam bentuk fatwa Mufti Wilayah Persekutuan bahawa kursus ESQ bercanggah dengan ajaran Islam.
Menurut fatwa tersebut, kursus ESQ yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam. Fatwa tersebut telah menguraikannya kepada 10 ajaran yang difatwakan menyeleweng, antaranya adalah mendukung fahaman Islam liberal dan plural agama, mendakwa para Nabi mencapai kebenaran melalui pencarian bukan pilihan Allah, mencampur aduk ajaran Islam dengan Kristian, Yahudi dan amalan kerohanian Hindu, menekankan suara hati sama dengan Hindu, mengutamakan logik, mengingkari mukjizat, menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir al-Quran, menyamakan bacaan 17 kali surah al-Fatihah dengan amalan Bushido menurut agama Buddha, mengiaskan mukjizat Nabi Musa dengan apa yang berlaku kepada seorang juruterbang, dan mentafsirkan kalimah syahadah sebagai “triple one” sama dengan konsep trinity dalam ajaran Kristian.
Kepada umat Islam seluruhnya, hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu sudah menjadi satu fatwa bila ia diwartakan pada 17 Jun 2010. Meskipun pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sudah menghadkan pemakaian fatwa itu untuk Wilayah Persekutuan sahaja (Utusan Malaysia, 9 Julai 2010), namun ia dilihat sebagai kenyataan yang terkeluar daripada konteks amalan keIslaman. Penting dilihat ialah pihak mufti sudah memfatwakan dengan mengemukakan hujah lalu menghukum ESQ haram kerana ada beberapa perkara amalan di dalam ESQ bercanggah dengan Islam.
Sementara ada pihak lain yang belum boleh menerima fatwa tersebut, malah terus menghalalkan ESQ itu dengan pelbagai alasan yang bukan hujah memfatwa. Termasuklah menyandarkan hasil muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan berhujah yang tidak mengharamkan. Walau bagaimanapun, majlis itu belum mengeluarkan lagi sebarang fatwa mengenai ESQ itu.
Dalam menyelesaikan kekeliruan atau kekaburan serta percanggahan tentang penerimaan kursus motivasi ESQ ini, sebaiknya muzakarah dapat diadakan sekali lagi. Muzakarah itu penting bagi memahami realiti kursus ESQ sebelum difatwakan di peringkat kebangsaan. Setidak-tidaknya dapat memandu masyarakat yang berminat dengan ESQ memahami isu agama sebenar yang tersirat di sebalik kursus yang diikuti nanti. Paling utama, kandungan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan itu dapat dijadikan bahan untuk dimuzakarahkan. Berpandukan hujah mufti itu sebagai bahan perbincangan diyakini banyak persoalan dapat dirungkaikan. Paling penting dirungkaikan adalah apa yang tersirat dan tersurat asas Islam di sebalik pendekatan motivasi diri yang memberi makna E (emotion), S (spiritual) dan Q (quotient) atau dipermudahkan sebagai kecerdasan emosi dan spiritual yang kini mencandui segelintir masyarakat yang mencari kesedaran akidah dan akhlak Islam serta kesungguhan diri ke arah terbaik.
Oleh kerana itu, ia tidak padan dengan pengumuman mufti-mufti untuk menjawab semua persoalan yang keliru mengenai pengisian kursus ESQ. Misalnya, Sinar Harian (9 Julai 2101) menyiarkan jawapan Mufti Perak yang menghukumkan motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan dan tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.
Bagaimana pula dengan hujah Mufti Wilayah yang memfatwakan kursus ESQ itu adalah mendukung fahaman liberalisme dan pluralisme-agama. Bukti dengan hujahnya berlaku dalam kursus ESQ amalan mentafsir nas-nas agama secara bebas dan mengajar peserta berfahaman semua agama adalah sama dan benar.
Masyarakat ingin tahu, apakah hujah Mufti Perak lebih menepati hukum berbanding Mufti Wilayah Persekutuan, sedangkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan sudah dapat dibaca.
Langkah penyelesaian
Langkah ke arah penyelesaian amat wajar memandangkan alumni atau lepasan kursus ESQ ini sudah puluhan ribu. Berpandukan kenyataan Mufti Selangor (Sinar Harian 12 Julai), pihak berwajib fatwa belum memutuskan apa-apa fatwa, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa MKI dapat bertindak cepat sebelum kekhilafan menjadi lebih kusut. Apa yang utama, pihak Jawatankuasa Fatwa MKI itu dapat menjadi penyelesai muktamad sesuai dengan fungsinya ke arah menyelesaikan masalah-masalah keagamaan kini melanda masyarakat Islam yang melalui atau akan melalui kursus ESQ.
Di mana perginya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diberi tanggungjawab memajukan Islam di negara ini? Seharusnya Jakim bertindak secara produktif dan aktif. Jangan pula Jakim dilihat sebagai agensi pusat yang cepat dalam hal ehwal politik pemerintah seperti isu Wahabi dan Syiah sahaja. Semoga bergandingan baik Jawatankuasa Fatwa MKI dengan Jakim. Perbetulilah mana yang tersilap. Kini isu ESQ sudah kelihatan tersilap, maka perbetulkan demi kemajuan seluruh umat Islam.

ada 10 sebab yang menyatakan ESQ ini haram iaitu:

Pertama: 'Mendukung fahaman Liberalisme iaitu memahami atau mentafsir nas-nas agama (Al-Quran dan as-Sunnah) secara bebas'.
Kedua: 'fahaman pluralisme agama yang mengajar semua agama adalah sama dan benar'.
Ketiga: 'Mendakwa bahawa para Nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian. Ini bercanggah dengan akidah Islam tentang Islam dan Rasul'.
Keempat: 'Mencampurkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam, SQ adalah hasil penemuan seorang Yahudi'.
Kelima: 'Manakala "God Spot" adalah hasil kajian seorang Hindu VS Ramachandran'.
Keenam: 'Menekankan konsep 'suara hati' atau 'conscience' sbg sumber rujukan utama dalam menentukan baik dan buruk sesuatu perbuatan. Konsep suara hati adalah ajaran paling suci dalam agama Kristian... juga merupakan ajaran agama Hindu'.
Ketujuh: 'Menjadikan lojik sebagai sumber utama. Ini bertentangan dengan aqidah Islam.... mengingkari mukjizat dan menganggap tidak dapat diterima oleh akal'.
Kelapan: 'Menggunakan kod 19 rekaan Rasyad Khalifah'.
Kesembilan: 'Menyamakan bacaan al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang Islam dengan amalan Budshido oleh orang Jepun yang berteraskan agama Buddha'.
Kesepuluh: 'Mendakwa bahawa kekuatan luar biasa seperti mukjizat boleh berlaku melalui rumus Zero Mind Proses (ZMP)'.

jadi kita mengharapkan golongan alim ulamak dapat memberikan penjelasan secara lanjut berkenaan ESQ ini.jika ia boleh diperbetulkan,silalah kemukakan kaedah-kaedah ayng boleh digunkan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat dlm ESQ ini.Semoga kemunculan isu dapat membuka mata umat Islam berkenaan isu semasa yang sedikit sebanyak menggugat aqidah kita selaku umat Islam.
sekian,WASSALAM.