BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, November 9, 2009

Akhlak Menurut Imam

Ghazali Akhlak pada Imam Ghazali mempunyai pengertian tersendiri dan mempunyai batas pengertiannya sendiri. Pengertian akhlak baginya mengenai cara-cara suluk, mengenai jalan mendekatkannya kepada Allah sesuai dengan apa yang telah ditetapkan oleh syariat Islam dan ahli-ahli feqah.

Oleh sebab itu, beliau menggunakan banyak nama untuk akhlak itu. Kadang-kadang beliau menambahnya jalan ke akhirat, sesekali menamakannya sifat-sifat hati, pada suatu tempat lain beliau menggunakan kata rahsia amal ibadat agama, bahkan pernah menggunakan sebutan budi pekerti yang baik di mana ia dijadikan nama bagi sebuah karya karangannya iaitu Akhlak al-Abrar.

Sebuah karangannya yang terpenting dan masyhur diberi nama Ihya’ Ulumuddin iaitu Pembangkit Ilmu-ilmu Agama. Kita dapat merumuskan maksud akhlak di sisi Imam Ghazali berdasarkan kepada nama– nama di atas ialah membentuk jiwa dan mengembalikannya kepada apa yang telah digariskan oleh syariat Islam sebagaimana yang telah dilalui oleh ahli-ahli mukasyafah dan ahli tasawwuf Islam serta apa yang pernah dilakukan oleh para nabi, siddiqin dan para syuhada’ yang soleh.

Kadang-kadang Ghazali memperkuat pembahasan dan kupasannya dengan menggunakan kata-kata Ibnu Adham, Al-Tustari, Al-Muhasibi dan ahli-ahli Tasawwuf yang lain. Begitu juga tidak sedikit beliau menggunakan riwayat para nabi seperti nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Isa dan lain-lain untuk menjadi hiasan kepada huraiannya . Sebagai dasar budi pekerti manusia, Imam Ghazali memberikan tiga sebab asas iaitu tafakkur membawa erti akal, syahwat membawa erti hawa nafsu dan ghadab yang membawa erti marah.

Memperbaiki budi pekerti bagi Imam Ghazali ialah menuju keseimbangan dalam menggunkan ketiga sifat asas tadi dan menyalurkan kepada perilaku atau perangai yang baik. Didakwa bahawa tidak kesemua kelakuan yang baik itu disukai oleh manusia bahkan sebaliknya kerapkali manusia itu menggemari perbuatan yang buruk. Oleh sebab itu kadang-kadang kita terpaksa mengambil yang buruk pada anggapan manusia dan meninggalkan yang baik menurut ukuran mereka.

Sebuah hadis memperingatkan tentang perkara ini iaitu bermaksud :
Syurga itu diliputi dengan segala macam kebencian dan neraka itu diliputi dengan segala macam keinginan.

Begitu juga dengan maksud firman Allah dalam ayat 216 surah Al-Baqarah: Barangkali kamu membenci sesuatu sedangkjan yang demikian itu baik untukmu, begitu juga barangkali kamu mencintai sesuatu sedangkan yang demikian itu tidak baik untukmu Apa yang menjadi pegangan yang tegas baginya mengenai kelakuan-kelakuan (khuluk) yang baik ialah ukuran-ukuran yang telah dijelaskan oleh syariat Islam.

Katanya: " Ada pun budi pekerti yang baik itu dapat dicapai dengan cara menghilangkan semua adat dan kebiasaan buruk yang telah diterangkan dengan jelas satu-persatu oleh syariat. Menjauhkan diri daripadanya dengan membencinya sebagaimana seseorang itu menjauhkan dirinya daripada segala macam benda yang kotor disamping dia berusaha dengan bersungguh-sungguh membiasakan adat dan kebiasaan yang baik sehingga memberi kesan kepada jiwanya dan kemudian barulah dia merasakan nikmat dan kesenangan daripada hasil usahanya itu".

Dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dijelaskan secara lebih mendalam bahawa budi pekerti itu merupakan suatu naluri asli dalam jiwa sesorang manusia yang dapat melahirkan suatu tindakan dan kelakuan dengan senang dan mudah tanpa rekaan fikiran. Jika naluri tersebut melahirkan sesuatu tindakan dan kelakuan yang baik lagi terpuji menurut akal dan syariat maka ia dinamakan budi pekerti yang baik. Manakala apa yang sebaliknya di mana naluri itu melahirkan sesuatu perbuatan dan kelakuan yang jahat maka ia dinamakan budi pekerti yang buruk.

Pada asasnya budi pekerti itu ialah pancaran naluri jiwa semata-mata untuk mempertahankan diri atau keinginan dalam melakukan sesuatu. Ukuran di luar jiwalah yang menentukan buruk baiknya budi pekerti manusia itu. Imam Ghazali memilih untuk ukuran ini ialah suatu ukuran yang tetap iaitu syara’ sebagai ukuran yang tetap dan tidak berubah-ubah. Oleh itu memperbaikkan budi pekerti mesti berlandaskan kepada kebahagian dunia dan akhirat bukannya di dunia sahaja.

Sehubungan dengan ini maka pembentukan seseorang mestilah bermula daripada alam kana-kanak lagi yang ditekankan pendidikannya bukannya dilepaskan memilih sendiri haluan hidup dengan jiwanya kosong kerana ini akan merosakkan anak itu sendiri. Seterusnya Imam Ghazali berkata tentang perkara ini :

" Apabila jiwa seseorang telah biasa dengan merasakan yang enak-enak dan yang jahat sahaja maka sudah pasti jiwa itu tidak akan dapat menerima yang baik dan benar dan ia tidak dapat dikembalikan kepada keadaan yang lebih berat seperti beramal dan bersungguh. Jiwa yang tercela itu akan dimilikinya secara terus-menerus sekali pun bertentangan dengan tabiat baik manusia. Kegemaran kepada hikmah, cinta kepada Allah serta beribadat kepadaNya adalah kegemaran seperti kegemaran kepada makanan dan minuman yang berkhasiat kepada manusia sekali pun bertentangan dan menyimpang daripada kebiasaan liar seseorang manusia dan juga bertentangan dengan hawa nafsu yang telah menjadi kebiasaannya".

Imam Ghazali mengakui bahawa ada manusia yang dilahirkan telah mempunyai budi pekerti yang baik sebagai fitrahnya di mana tidak memerlukan kepada pendidikan dan pengajaran seperpti Nabi Isa, Yahya dan para nabi yang lain dan ia merupakan keistemewaan. Sedangkan manusia yang lain hanya mencapai budi pekerti yang baik jika dia berusaha ke arah itu di mana hanya sedikit anak-anak yang dilahirkan dalam keadaan mereka itu benar, fasih berbicara, pemurah dan berani.

Sehubungan dengan itu, jalan atau cara yang dipilih oleh Imam Ghazali dalam membentuk budi pekerti ialah dinamakan takhalluk yang bererti sentiasa mendorong jiwa itu kepada perbuatan-perbuatan yang bersesuaian dengan akhlak yang hendak dimiliki. Umpamanya sesiapa yang hendak memiliki sifat pemurah maka dia mesti sentiasa berusaha melakukan perbuatan yang bersifat pemurah seperti membelanjakan harta untuk pekerjaan yang baik sehingga menjadi suatu tabiat yang melekat pada dirinya. Perbuatan seperti ini banyak ditunjukkan oleh Imam Ghazali dalam ajarannya yang dinamakan riyadhah yang bererti latihan membiasakan diri. Oleh kerana itu, 2 bahagian penting dalam kitabnya Ihya’ yang perlu diperhatikan dalam usaha pembaikian budi pekerti iaitu Riyadh al-Nasyi’ yang bermakna latihan peribadi umum da Riyadh al-Sibyan yang bermaksud latihan budi pekerti anak-anak.

Memang terlalu banyak dalam karya beliau yang menganjurkan latihan jiwa
kerana menurut pendapatnya bahawa budi pekerti yang baik itu hanya dapat dicapai dengan mengerjakan latihan dan usaha termasuk keanehan jiwa dan anggota. Beliau berkata bahawa segala sifat yang terdapat dalam hati akan mampu memberikan kesan kepada anggota badan yang zahir yang hanya bergerak sesuai dengan sifat tersebut dan sebaliknya setiap gerak-geri anggota kasar mengalihkan perasaannya sampai ke hati. Imam Ghazali berpendirian bahawa mengubahkan sesuatu budi pekerti manusia itu sangat mungkin boleh berlaku dalam pelaksanaannya sehingga budi pekerti yang baik seseorang itu dapat ditumbuhkan dengan menghilangkan sifat kejinya.

Sebagai alasan, beliau mengemukakan hadis yang bermaksud : "
Perbaikilah akhlakmu" dan menambah hujahnya bahawa jika kelakuan itu tidak mungkin mampu berubah sudah tentu nabi Muhamamd s.a.w tidak memerintahkan sebagaimana hadis tersebut.

Seterusnya tiada guna lagi usaha nasihat menasihati sebagaimana tiada faedah adanya hadis yang memberi pengajaran, janji kesenangan untuk mereka yang berbuat baik dan ancaman keras bagi mereka yang berbuat jahat seperti manusia berjaya mengubah tingkahlaku binatang liar menjadi binatang jinak .

0 comments: